arena

Mancini terus ketepi Kean, Zaniolo

Oleh AFP

JURULATIH Itali Roberto Mancini menggugurkan Moise Kean dan Nicolo Zaniolo daripada skuadnya hari ini untuk perlawanan menentang Armenia dan Finland dalam kelayakan Euro 2020, menghukum pemain muda itu atas sikap mereka ketika Kejohanan Eropah Bawah-21.

Pertahanan Juventus Giorgio Chiellini, 35, yang turut disenaraikan dalam skuad itu juga digugurkan apabila dia bakal menjalani pembedahan selepas koyak ligamen lutut kanan ketika latihan bersama juara Serie A itu hari ini.

Mancini kemudiannya memanggil pertahanan pertahanan Lazio Francesco Acerbi bagi menggantikan Chiellini yang mewakili negara sebanyak 103 kali.

Pemain tengah Roma Zaniolo, 20, dan pemain baharu Everton, Kean, 19, dipilih Mancini musim lalu selepas mempamerkan aksi hebat di Serie A.

Bagaimanapun mereka digugurkan untuk perlawanan terakhir kumpulan ketika kejohanan B-21 yang diadakan di negara sendiri, selepas tiba lewat untuk sesi video dan seperti diramal media Itali, Mancini memutuskan untuk melanjutkan hukuman itu kepada perlawanan peringkat senior.

Skuad Azzurri, tiga mata di puncak Kumpulan J selepas menang keempat-empat perlawanan setakat ini, berkunjung ke Armenia Jumaat depan sebelum berdepan Finland di tangga kedua kumpulan, tiga hari kemudian.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 12:16pm
d