arena

Tuah nombor 13 buat Liverpool

Oleh Reuters

PENDAHULU Liga Perdana Inggeris, Liverpool melakar rekod baharu kelab 13 kemenangan berturut-turut di liga utama apabila mengalahkan Burnley 3-0 di gelanggang lawan awal pagi tadi, mengekalkan kelebihan dua mata di depan juara bertahan Manchester City.

Selepas Burnley bermula cemerlang, dengan penyerang Chris Wood memaksa Adrian bekerja keras, Liverpool mendahului pada minit ke-33 sekalipun mereka agak bernasib baik.

Percubaan Trent Alexander-Arnold melakukan hantaran silang dari sebelah kanan terkena belakang Wood dan melambung melepasi penjaga gol Burnley, Nick Pope lalu menerjah jaring.

Jika anak buah Sean Dyche berasakan tuah tidak menyebelahi mereka bagi gol awal itu, mereka patut menyalahkan diri sendiri apabila menghadiahkan Liverpool gol kedua empat minit kemudian.

Kapten Burnley, Ben Mee tersalah menghantar bola kepada Roberto Firmino, yang meluru dan kemudian mengumpan kepada Sadio Mane di sebelah kiri, yang menyudahkannya dengan sempurna ke penjuru kanan gol.

Firmino melengkapkan kemenangan itu sembilan minit sebelum tamat, merembat kencang mengatasi Pope selepas Mohamed Salah melepasi dua benteng pertahanan sebelum memberi peluang kepada pemain Brazil itu menyumbat gol.

Rekod kemenangan kelab itu sebelum ini dicatat antara April hingga Oktober 1990, ketika di bawah kendalian pengurus Kenny Dalglish.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 7:36am
d