arena

Union kejutkan Dortmund 3-1

Oleh Reuters

KELAB pendatang baharu Union Berlin mengejutkan pencabar kejuaraan Borussia Dortmund 3-1 awal pagi tadi untuk meraih kemenangan sulung dalam Bundesliga sekali gus menyaksikan lawan mereka ketinggalan tiga mata berbanding pendahulu.

Dortmund ketinggalan bagi aksi ketiga liga berturut-turut namun barisan serangan mereka yang meledak lapan gol dalam dua aksi terakhir kali ini gagal bertindak cemerlang.

Marius Buelter memberikan tuan rumah gol pendahuluan pada minit ke-22, namun kegembiraan mereka terencat apabila penyerang Dortmund, Paco Alcacer merembat masuk gol penyamaan tiga minit kemudian untuk meneruskan keupayaannya menjaringkan gol dalam setiap perlawanan Dortmund setakat ini.

Namun Buelter menyudahkan satu bola muntah lima minit selepas rehat sekalipun penjaga gol Roman Buerki bertindak cemerlang dan gol itu mendedahkan kepincangan benteng Dortmund awal musim ini.

Sebastian Andersson kemudiannya melengkapkan satu gerakan tersusun pada minit ke-75 untuk menjaringkan gol ketiga mereka ketika Stadium Alte Foersterei gegak gempita dengan jeritan serta pekikan penyokong yang membakar suar.

“Jelas kami amat mengecewakan,” kata pemain Dortmund, Julian Brandt. “Kami perlu belajar daripada semua ini. Kami bertanggungjawab dengan cara kami bermain. Kami patut mengelak daripada ketinggalan.”

Kekalahan pertama kelab lembah Ruhr itu musim ini menyaksikan mereka mengutip enam mata di tangga kelima, tiga mata di belakang pendahulu RB Leipzig, yang mengumpul sembilan mata selepas menang 3-1 ke atas Borussia Moenchengladbach. Union meraih empat mata.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 8:40am
d