arena

Cuaca sejuk 'musuh' utama

Oleh Saiful Affendy Sapran

FAKTOR cuaca mungkin menjadi halangan utama skuad hoki lelaki negara menghadapi perlawanan play off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo yang berlangsung antara Oktober hingga November depan.

Ini kerana menerusi senarai pasukan bakal beraksi pada kempen kelayakan itu, skuad negara dijangka berdepan lawan dari Eropah di tempat lawan.

Bekas pemain kebangsaan, S Selvaraju yang mempunyai pengalaman luas beraksi bersama kelab di Eropah berkata, faktor itu perlu diambil kira skuad negara.

"Berdasarkan pengalaman saya, cara pasukan Eropah bermain ketika cuaca sejuk jelas sekali sangat berbeza.

"Walaupun saya sudah biasa bermain, tetapi saya tak boleh ikut cara mereka bermain atau dengan kata lain saya langsung tak boleh bermain apabila cuaca sejuk," katanya.

Selvaraju bagaimanapun percaya skuad negara sudah melakukan persiapan rapi untuk menghadapi kempen kelayakan itu.

"Barisan pemain kita sudah mempunyai pengalaman luas bermain di banyak negara dan rata-rata pemain di dalam pasukan juga matang dan sudah melakukan banyak penampilan. "Saya juga lihat kesungguhan MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) cuba menjadikan setiap pemain cukup sempurna untuk menghadapi kempen kelayakan.

"Untuk itu saya memang berharap skuad negara dapat layak beraksi di Tokyo," katanya.

Skuad bimbingan Roelant Oltmans akan mengetahui lawan mereka pada majlis undian yang berlangsung 9 September ini di ibu pejabat Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Lausanne, Switzerland.

Format perlawanan menyaksikan Malaysian Tigers beraksi perlawanan timbal balik di tempat lawan. Kempen kelayakan Sukan Olimpik akan berlangsung dari 25 hingga 27 Oktober serta 1 hingga 3 November depan.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 7:56pm
d