arena

Bale selamat maruah Madrid

Oleh AFP

GARETH Bale meledak dua gol untuk menyelamatkan Real Madrid daripada kekalahan di Villarreal awal pagi tadi sebelum melengkapkan keputusan seri dramatik 2-2 itu dengan dibuang padang pada masa kecederaan.

Zinedine Zidane menyatakan Julai lalu ia pasti “terbaik buat setiap orang” jika Bale meninggalkan kelab La Liga Sepanyol itu pada musim panas ini namun dua gol pemain Wales itu membantu Madrid mengutip satu mata pada pertembungan menarik di La Ceramica.

Villarreal mendahului menerusi Gerard Moreno pada minit ke-12 dan kemudian Moi Gomez 16 minit sebelum tamat namun setiap kali Bale membantu mereka menyamakan kedudukan, pertama pada masa kecederaan babak pertama dan kemudian empat minit sebelum tamat.

Dua kad kuning dalam tempoh dua minit kemudiannya menyaksikan Bale dibuang padang secara dramatik pada minit ke-94 namun ketika itu usahanya menyelamatkan pasukan sudah dilunaskan.

“Saya puas hati dengan golnya, sudah tentu dan kini kami perlu memikirkan mengenai rehat,” kata Zidane. “Sekalipun dia tidak berehat dan akan bersama pasukan kebangsaannya.”

Genap enam tahun lalu Real Madrid membayar 100 juta euro (RM462 juta) untuk mengikat Bale, yang kini meledak 104 gol bersama kelab itu, sama banyak dengan penyerang Brazil, Ronaldo.

Namun keperwiraannya tidak menyelamatkan Madrid daripada satu lagi kesilapan, bermakna mereka berdepan rehat tugasan antarabangsa lima mata di belakang pendahulu Atletico Madrid, yang terdahulu menewaskan Eibar 3-2.

“Kami perlu meningkatkan keupayaan benteng pertahanan,” kata Zidane. “Kami sedar kami boleh mencipta peluang. Positifnya adalah reaksi kami pamerkan kerana penting tidak kalah.”

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 10:26am
d