arena

Sokongan Woods inspirasi Nadal

Oleh AFP

RAFAEL Nadal menganggap Tiger Woods sebagai “inspirasi menakjubkan” ketika pemain Sepanyol itu mendapat sokongan bintang golf ketika mempamerkan aksi bertenaga pada Terbuka AS, pagi tadi.

Juara 18 gelaran Grand Slam itu layak ke suku akhir kejohanan utama buat kali ke-40 dalam karier gemilangnya dengan kemenangan 6-3, 3-6, 6-1, 6-2 ke atas pemain Croatia, Marin Cilic.

Namun reaksi Woods, pemenang 15 gelaran utama golf, selepas Nadal meraih mata kemenangan lebih mencuri tumpuan ramai di Stadium Arthur Ashe.

Pukulan kemenangan backhand ‘cross-court’ Nadal mencetus kegembiraan Woods yang meraikannya dengan menggenggam penumbuknya begitu juga sebelumnya apabila pukulan forehand Nadal mencipta mata penamat.

“Ia terlalu bermakna buat saya dengan sokongannya. Seperti yang saya katakan, dia inspirasi menakjubkan, semua yang dilakukannya dalam sukan, cara dia berjuang,” kata Nadal.

“Melihatnya di lapangan golf, menjadi contoh buat saya, satu inspirasi sebenar buat saya. Apatah lagi kehadirannya hari ini menyokong saya dan mampu berhubung dengannya secara kerap sesuatu yang amat menggembirakan saya dan saya harap satu hari nanti kami boleh bermain golf dan tenis bersama.”

Nadal, seperti Woods beberapa kali dibelenggu kecederaan, kelihatan sihat dan lapar di Flushing Meadows, yang mana dia memburu kejuaraan keempat Terbuka AS selepas 2010, 2013 dan 2017.

“Emosi saya apabila bermain di sini sukar untuk digambarkan. Saya sayangkan sukan ini dan berasa amat bertuah masih bermain tenis di sini. Lapan atau 10 tahun lalu, saya tidak fikir ia boleh berlaku kerana kecederaan saya agak teruk,” kata Nadal.

“Satu penghormatan besar bermain di depan anda semua dan bermain di depan Tiger sesuatu yang istimewa. Saya sering menyatakan saya tidak mempunyai idola tapi idola saya adalah Tiger dan saya sering kali cuba mengikut jejak langkahnya.”

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 1:48pm
d