arena

Kena bagi 'KO' petinju tuan rumah

Oleh Saiful Affendy Sapran

"KALAU jumpa petinju tuan rumah saya kena bagi 'KO' (knockout)." Itu pandangan petinju negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan yang mengakui tiada pilihan lain untuk menewaskan petinju tuan rumah pada Sukan SEA Filipina selain memperoleh keputusan 'KO' atau perlawanan menampakkan dominasi dirinya.

Ini kerana Fuad menyedari sukan bersifat subjektif seperti tinju kebiasaannya akan memihak kepada atlet tuan rumah.

"Saya sudah lama di dalam sukan tinju dan sudah faham sangat situasinya. Kalau jumpa petinju tuan rumah dan gagal melakukan 'KO' pasti saya akan kalah. Ini adalah sukan subjektif dan semua perkara akan memihak kepada tuan rumah," katanya pada sidang media hari ini.

Hadir selaku pemegang pingat emas kategori 49 kilogram (kg) ketika Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu, Fuad berkata dia tidak mahu meletakkan tekanan ke atas dirinya sendiri pada edisi kali ini. "Bagi saya segala-galanya bergantung kepada undian terlebih dahulu. Jika undian memihak kepada saya, insya-Allah saya akan bawa pulang pingat emas.

“Tapi jika sebaliknya, saya tetap akan pastikan bawa pulang pingat untuk Malaysia. Jika boleh saya mahu mengelak bertemu dengan petinju Thailand dan Filipina pada peringkat awal kerana mereka melakukan persiapan rapi dengan melalui banyak pendedahan di luar negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 6:35pm
    d