arena

Sanchez tak kesal sertai Red Devils

Oleh Reuters

PENYERANG Inter Milan, Alexis Sanchez tidak kesal menyertai Manchester United walaupun bergelut dengan kemerosotan prestasi bersama kelab Liga Perdana itu yang didakwanya akibat kekurangan masa permainan.

Pemain antarabangsa Chile itu menyertai United dari Arsenal pada Januari 2018 sebagai pertukaran dengan Henrikh Mkhitaryan tetapi gagal mencetuskan impak apabila hanya menjaringkan lima gol dalam 45 aksi semua kejohanan bersama kelab itu.

Bekas pemain Barcelona berusia 30 tahun itu berpindah ke kelab Serie A, Inter Milan bulan lalu secara pinjaman jangka panjang.

"Saya sangat gembira dapat menyertai Manchester United. Saya selalu berkata mengenainya kerana ia kelab paling banyak menang kejuaraan di England,” kata Sanchez kepada BBC.

"Saya mahu menyertai mereka dan menang semuanya. Saya tak kesal pergi ke sana dan gembira tetapi saya selalu berkata kepada rakan yang saya mahu beraksi.

"Jika mereka menurunkan saya beraksi, sudah pasti saya akan beri yang terbaik. Kadang-kadang saya beraksi 60 minit dan kemudiannya tidak beraksi selepas itu. Saya tak tahu mengapa.”

Sanchez menyertai United selepas menjaringkan 80 gol dalam 166 perlawanan bersama Arsenal tetapi gagal mengulangi ketajamannya di Old Trafford.

"Apabila saya bermain di Arsenal ia sangat fantastik. Saya gembira di sana tetapi ketika itu United sedang meningkat, mereka membeli pemain untuk memenangi sesuatu,” katanya.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer tidak menurunkan Sanchez dalam aksi pramusim dan tiga perlawanan awal liga walaupun pemain itu membantu Chile mara ke separuh akhir Copa America.

"Saya rasa bagus dan beraksi baik di Copa America. Selepas itu (tidak beraksi di pramusim) bergantung kepada jurulatih untuk memberi peluang saya beraksi. Anda perlu tanya kepadanya soalan ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 8:29pm
d