arena

Gatlin terhincut-hincut berlumba di Zagreb

Oleh AFP

JUARA pecut dunia Justin Gatlin menamatkan perlumbaan 100 meter terhincut-hincut sambil memegang paha kirinya hanya tiga minggu menjelang kempen mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Dunia di Doha.

Pada perlumbaan di ibu negara Croatia, Zagreb, pelari AS berusia 37 tahun itu tiba-tiba mengalami kecederaan selepas 80m, berakhir di tangga keempat dengan masa 10.29 saat dan meninggalkan trek dengan bantuan rakan atlet.

Seorang lagi pelari AS, Michael Rodgers memenangi perlumbaan itu dengan catatan bantuan angin 10.04s.

Pelari pecut veteran itu, pemenang pingat emas 100m Sukan Ompik Athens 2004 yang menjalani penggantungan doping antara 2006 hingga 2010, masih meneruskan saingan di trek untuk membuktikan kehebatannya.

Gatlin menang emas di London dua tahun lalu di depan rakan senegara dari AS, Christian Coleman dan pelari pecut Jamaica yang sudah bersara Usain Bolt.

Bukan saja Gatlin merancang untuk mempertahankan kejuaraan di Doha, dia turut menggunakan kejohanan itu sebagai pemanas badan bagi kempen keempat Sukan Olimpik di Tokyo 2020.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 2:05pm
d