arena

'United skuad jenaka...'

Oleh Agensi

OLE Gunnar Solskjaer melabelkan pasukan Manchester United dikendalikannya sebagai ‘skuad jenaka’ ketika meluahkan kemarahannya di bilik persalinan pemain.

Bos yang berdepan tekanan untuk kembali meningkatkan reputasi United hilang sabar selepas seri 1-1 berdepan Southampton yang beraksi dengan 10 pemain di tempat lawan.

Dia memberitahu pemain prestasi mereka adalah ‘jenaka’ dan ia memalukan dengan cara mereka gagal untuk menewaskan pasukan lawan.

Pengendali dari Norway itu juga menuduh mereka bermain untuk sendiri dan cuba melakukan perkara tidak sepatutnya berbanding mengekalkan cara permainan asas.

Malah, Solskjaer enggan menamakan individu terbabit yang berada dalam skuad dengan hanya mengatakan terdapat individu perlu berusaha lebih keras dan membiarkan rakan sepasukan yang lain berasa kecewa.

Solskjaer benar-benar kecewa dengan cara pemainnya gagal melaksanakan apa perlu mereka lakukan sepanjang minggu di padang latihan.

Dia memberi amaran apabila mereka kembali daripada tugasan antarabangsa mereka akan berdepan Leicester yang masih belum tewas.

Jika gagal menyelesaikan masalah itu dengan cepat, mereka akan berada dalam keadaan lebih serius selepas ini.

United kini ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Liverpool dan menghuni tangga kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 3:03pm
d