arena

MSN anggap isu pakaian gimnas tak wajar

Oleh Iskandar Shah Mohamed

KEBIMBANGAN kerajaan Terengganu mengenai cara pemakaian atlet gimnastik wanita dan gimrama tempatan memberi risiko kepada masa depan atlet yang berpotensi mengharumkan nama negara dalam arena sukan.

Malah, tanggapan berkaitan kemahiran dan teknik ditonjolkan dalam sukan itu sebagai aksi yang boleh mendatangkan ghairah kepada kaum lelaki juga tidak harus diterima.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, isu pemakaian sukan terutama membabitkan pendedahan aurat bukan saja pernah dibincangkan sebelum ini malah dibawa sehingga ke peringkat Parlimen.

"Sukan adalah pentas para atlet negara mempamerkan disiplin diri dan semangat kesukanan yang tinggi demi cita-cita mengibarkan Jalur Gemilang di mata dunia. Takrifan 'ghairah' tidak pernah wujud dalam arena gimnastik dan gimrama. Ia tidak seharusnya dijadikan asas dalam dasar pembangunan sukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, kata beliau, bagi beberapa jenis sukan tertentu yang secara asasnya menampilkan pemakaian sedemikian rupa, ia terpulang kepada individu untuk mempraktikkannya atau tidak selagi ia tidak menyalahi peraturan sukan antarabangsa atau menyebabkan risiko keselamatan kepada atlet.

"Jika menganggap pakaian itu menyalahi syariah, individu berkenaan mempunyai pilihan untuk tidak menyertai sukan terbabit walau setinggi mana pun minat dan bakat mereka.

"Individu itu juga boleh berkompromi dan memakai pakaian mengikuti syariah jika tiada halangan dari segi garis panduan," katanya.

Ahmad Shapawi berkata, isu itu tidak wajar dibangkitkan dan dianggap malang jika ia terpakai kepada individu bukan beragama Islam kerana sukan tidak patut digunakan bagi menyekat kebebasan mereka yang ingin menceburi bidang berkenaan.

Media semalam melaporkan kerajaan Terengganu menyatakan kesediaan untuk menarik diri dalam sukan gimnastik dan gimrama wanita kerana tuntutan yang perlu dipatuhi atlet bercanggah dengan garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu diambil kerana berdepan halangan dalam soal pakaian patuh syariah yang bercanggah peraturan ditetapkan persatuan atau badan induk sukan berkenaan.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 5:14pm
d