arena

Harimau Malaya boleh!

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KUALA LUMPUR: Harapan tinggi disandarkan di bahu skuad senior kebangsaan bimbingan Tan Cheng Hoe untuk membawa cabaran negara dalam saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bermula hari ini hingga 9 Jun 2020.

Biarpun undian dikatakan memihak skuad Harimau Malaya, peluang pasukan lain juga dilihat seimbang dengan pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berpotensi untuk meloloskan diri peringkat kumpulan G berdasarkan prestasi semasa.

Skuad bimbingan Bert Van Marwijik ini menewaskan Republik Dominica, 4-0 dan Sri Lanka, 5-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, masing-masing pada 30 dan 31 Ogos lalu.

Walaupun kedua-dua pasukan di ranking lebih rendah, kekuatan UAE tidak boleh dinafikan dengan kehadiran beberapa tonggak termasuk penyerang tengah, Omar Abdulrahman Ahmed Al Raaki Al Amoodi mewakili kelab Al Jazira.

Bekas ketua pasukan kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian melihat UAE sebagai pencabar utama, manakala pasukan Asia Tenggara mempunyai peluang seimbang kerana memiliki corak permainan hampir sama.

“Secara umum, berdasarkan statistik dan perlawanan dijalani, pencabar utama pastinya UAE dan memberi cabaran paling sukar bagi skuad negara.

“Tetapi, bagi pasukan lain, Indonesia, Thailand dan Vietnam prestasi mereka hampir sama, jika lebih pun sedikit sahaja contohnya Thailand.

“Saya rasa kita di tahap sama, di Asia Tenggara inilah pasukan yang berentap sesama sendiri. Jadi, bagus untuk kita tumpu setiap satu perlawanan. Habiskan misi menentang Indonesia terlebih dulu, itu lebih baik,” katanya dihubungi Arena Metro, semalam.

Mengikut rekod UAE pernah mengaibkan Harimau Malaya, 0-10 dalam kempen sama, empat tahun lalu, namun jika pertemuan dengan Jordan minggu lalu dianggap ‘bayangan UAE’, skuad negara mampu memberi saingan bertemu pasukan Asia Barat itu.

Bagi pasukan Thailand, ketua jurulatihnya, Akira Nishino, mempunyai banyak pilihan pemain berkualiti seperti penyerang muda, Supachai Jaided yang cemerlang bersama Thailand B-23 di Sukan Asia 2018 serta boleh bermain di tengah, sayap dan serangan.

Mereka juga memiliki pemain beraksi di Jepun iaitu Theerathon Bunmathan mewakili kelab Yokohama F Marinos, Chanathip Songkrasin (Hokkaido Consadole Sapporo) dan Thitipan Puangchan (Oita Trinita) yang pantas dan punya stamina bagus di posisi tengah.

Meninjau pasukan Vietnam, skuad kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-seo memiliki rekod sederhana dalam kempen Piala Asia Januari lalu dengan tiga kekalahan dan dua kemenangan iaitu ke atas Yaman (2-0) dan Jordan (penalti, 4-2).

Skuad ini juga menampilkan empat penyerang iaitu, Nguyen Anh Duc, Nguyen Cong Phuong, Nguyen Van Toan dan Nguyen Tien Linh, berusia 21 hingga 33 tahun.

Berdasarkan format hanya lapan juara kumpulan dan empat naib juara kumpulan terbaik akan layak ke Piala Asia 2023 dan pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022, justeru skuad negara perlu menempatkan diri dalam kalangan 12 pasukan terbaik.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 5:30am
d