arena

Berrettini singkir Monfils pada Terbuka AS

Oleh AFP

MATTEO Berrettini muncul pemain lelaki pertama Itali layak ke separuh akhir Terbuka AS dalam tempoh 42 tahun pagi tadi untuk mencetus potensi pertemuan dengan pilihan utama kejuaraan Rafael Nadal, yang meneruskan kempen memburu Grand Slam ke-19.

Berrettini, pilihan ke-24, menyamai pencapaian Corrado Barazzutti layak ke separuh akhir pada 1977 selepas menyingkirkan pilihan ke-13 dari Perancis, Gael Monfils 3-6, 6-3, 6-2, 3-6, 7-6 (7/5) dalam masa tiga jam dan 57 minit.

Dia akan bertemu pemenang perlawanan lewat antara juara Terbuka AS tiga kali dari Sepanyol, Nadal dan pemain Argentina, Diego Schwartzman bagi merebut tempat ke final Ahad ini di Flushing Meadows.

Pemain berusia 23 tahun itu menyertai Barazzutti, juara Roland Garros 1976, Adriano Panatta dan Marco Cecchinato sebagai pemain keempat Itali layak ke separuh akhir perseorangan lelaki acara Grand Slam.

“Saya terlalu gembira, saya tak tahu nak kata apa,” kata Berrettini, yang mensia-siakan pendahuluan 5-2 pada set akhir dan empat mata penamat sebelum akhirnya menundukkan Monfils pada perlawanan getir di Stadium Arthur Ashe.

“Ketika ini saya tidak ingat mana-mana mata, hanya mata penamat.

“Saya juga ingat melakukan double fault (ketika mata penamat 5-3). Secara jujur ini satu perlawanan yang hebat. Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Gael.

“Saya fikir apabila saya bermain ia satu daripada perlawanan terbaik pernah saya saksikan. Sekalipun saya bermain, saya juga turut menyaksikannya.”

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 7:53am
d