arena

Bianca samakan rekod Caroline

Oleh AFP

PEMAIN Kanada, Bianca Andreescu muncul pemain remaja pertama layak ke separuh akhir Terbuka AS dalam tempoh sedekad pagi tadi, mengalahkan pemain Belgium, Elise Mertens untuk menempah pertemuan dengan Belinda Bencic bagi memburu aksi final.

Pilihan ke-15 berusia 19 tahun dari pinggir kota Toronto itu bangkit mengatasi pilihan ke-25 Elise 3-6, 6-2, 6-3 untuk layak ke separuh akhir menentang Belinda, pilihan ke-13 dari Switzerland yang menewaskan pilihan ke-23 dari Croatia, Donna Vekic 7-6 (7/5), 6-3.

“Secara jujurnya saya tergamam,” kata Bianca. “Saya perlukan seseorang untuk mencubit saya ketika ini. Adakah ini benar-benar berlaku?”

Serena Williams, yang memburu kejuaraan perseorangan Grand Slam ke-24 untuk menyamai rekod sepanjang zaman milik Margaret Court, berdepan pilihan kelima dari Ukraine, Elina Svitolina pada satu lagi separuh akhir pagi esok.

Bianca, yang menang di Indian Wells dan Toronto tahun ini, adalah pemain remaja pertama layak ke separuh akhir Terbuka AS sejak Caroline Wozniacki pada 2009.

Dia menjelaskan pengalaman banyak membantunya bangkit selepas kalah set pertama menentang lawan yang tidak pernah kalah satu set pada kejohanan kali ini.

“Saya hanya terfikir pengalaman bermain pada kejohanan besar banyak membantu,” katanya. “Pengalaman itu juga semakin menimbun.”

Bianca boleh muncul pemain remaja pertama menang kejuaraan Grand Slam sejak Maria Sharapova menjuarai Terbuka AS 2006 dan dia boleh menjadi juara termuda Terbuka AS sejak pemain Russia, Svetlana Kuznetsova pada 2004.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 11:34am
d