arena

Jokowi tonton aksi Indonesia-Malaysia

Oleh Firdaus Hashim

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo dijangka hadir bagi menyaksikan perlawanan pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara pasukan Malaysia dan skuad Garuda di Stadium Gelora Bung Karno, malam ini.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Marsal Masita, mereka sudah menghantar jemputan kepada 'orang nombor satu' di republik itu bagi memberi sokongan kepada pasukan tuan rumah.

Joko Widodo atau mesra dipanggil Pak Jokowi adalah Presiden ketujuh Indonesia yang amat meminati sukan bola sepak dan kehadirannya dalam perlawanan antara dua musuh tradisi itu dijangka memeriahkan lagi aksi berkenaan.

"Kami sudah mengundang Presiden Jokowi untuk datang namun masih belum ada sebarang maklum balas. Kami berharap beliau datang dan menyaksikan Indonesia menang.

"Selain mengundang Presiden, kami juga menjemput wakil Presiden dan menteri bagi memberikan sokongan kepada skuad Garuda,” menurut Marsal dalam laporan media tempatan.

Sejumlah 48,000 tiket pertandingan membabitkan pasukan bola sepak kebangsaan Indonesia dan Malaysia sudah dijual setakat malam tadi.

Ia disahkan Ketua Perhubungan Media dan Promosi Digital PSSI, Gatot Widakdo yang menggambarkan keghairahan peminat bola sepak tempatan untuk menonton perlawanan itu.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 2:29pm
d