arena

Megat enggan diheret isu MPM

Oleh Saiful Affendy Sapran

CALON Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin tidak mahu lagi mengheret dirinya dalam kemelut pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu.

Tegas Megat, segala-galanya sudah jelas termaktub di dalam perlembagaan MPM dan untuk itu beliau menyarankan isu berkenaan diselesaikan mengikut kaedah yang telus.

"Di pihak saya mengikut segala yang ditetapkan di dalam perlembagaan MPM. Jadi biarlah isu ini diselesaikan dengan cara yang betul iaitu membabitkan Menteri Belia dan Sukan. "Saya tetap akan bertanding dan tak akan lepaskannya kerana saya mahu pastikan golongan atlet paralimpik terbela.

"Jika ada pihak tertentu hendak melakukan sesuatu yang tidak bertanggjawab, saya serahkan kepada pihak yang berkenaan. Yang pasti saya tak mahu terheret di dalam isu ini," katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) ditemui pada majlis memperkenalkan lima pemain yang akan beraksi di Liga Itali semalam. Arena Metro semalam melaporkan nasihat Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) supaya proses pemilihan itu diselesaikan mengikut kaedah yang betul seperti yang termaktub di dalam perlembagaan badan induk itu.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan (PJS), Asmadi Mohamad menerusi surat bertarikh 30 Ogos lalu kepada MPM yang viral di laman sosial berkata badan induk itu perlu merujuk kepada perlembagaan artikel 26.3 yang menjelaskan secara terperinci tindakan boleh diambil.

Artikel berkenaan menyatakan sekiranya proses mediasi gagal, maka isu berkenaan memerlukan kata putus daripada Menteri Belia dan Sukan atau Mahkamah Timbang Tara.

Difahamkan ada usaha dari pihak tertentu untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) bagi membolehkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertanding sedangkan perkara itu tidak boleh dilakukan.

Jawatankuasa Mediasi ditubuhkan untuk mencari penyelesaian bagi kemelut dihadapi MPM berkenaan tarikh tutup pencalonan bagi memilih ahli majlis baru pada AGM 29 Jun lalu namun ia menemui kegagalan.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 4:35pm
d