arena

Botol air terbang sambut penyokong negara

Oleh Firdaus Hashim

KEJAYAAN skuad Harimau Malaya melakar kemenangan 3-2 ke atas Indonesia pada aksi pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dicemari dengan insiden keganasan penyokong Indonesia yang dipercayai tidak berpuas hati dengan kekalahan pasukan tuan rumah di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.

Kira-kira 400 penyokong negara diserang dengan balingan botol, bom asap dan ditumbuk hingga ada yang mengalami kecederaan dalam insiden berkenaan.

Penyokong negara, Iskandar Kamal berkata, dia dan penyokong yang lain berdepan detik mencemaskan sehingga memaksa mereka berlari masuk ke bawah stadium untuk menyelamatkan diri.

Malah, dahinya juga tercedera selepas terkena botol air yang masih penuh dan hinggap di kepalanya.

Katanya, dia amat kecewa kawalan keselamatan pihak berkuasa Indonesia yang sepatutnya lebih peka dan bersedia dengan tindakan penyokong mereka.

"Patutnya keselamatan kena lagi cekap untuk menangani masalah ini.

"Kepala saya sedikit cedera sebab terkenan botol air yang masih penuh dan penutup botol itu betul-betul kena dekat kepala saya," katanya ketika ditemui dalam terowong Stadium Gelora Bung Karno.

Bagi penyokong wanita, Aida Fasha Mutalib pula, dia merasakan kehadiran ribuan pihak polis dan tentera Indonesia langsung tidak membantu penyokong Harimau Malaya ketika insiden itu.

"Masa itu memang terkejut (balingan botol dan bom asap) tapi memang dah jangka mereka akan macam ini sebab selalu berlaku di sini.

"Rasanya askar mereka tak main peranan, seolah buat tak tahu dan tak jaga kami," katanya yang berasal dari Johor.

Disiarkan pada: September 6, 2019 @ 1:07am
d