arena

'Beli tiket dalam talian lebih murah'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KUALA LUMPUR: Tiket perlawanan kedua Kumpulan G, saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Malaysia menentang Emriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 September ini mula dijual secara dalam talian semalam.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, penyokong Harimau Malaya boleh membelinya di www.tickethotline.com.my dengan harga RM30 bagi tempat duduk terbuka dan RM50 (Grandstand), tidak termasuk caj pemprosesan sehingga jam 11.59 malam pada Isnin, 9 September ini.

Katanya, penjualan secara fizikal di kaunter tiket SNBJ juga akan dibuka pada hari perlawanan bermula jam 2 petang dengan harga RM40 (terbuka) dan RM60 (grandstand), tanpa sebarang caj tambahan.

“Ia selepas mengambil kira apa yang berlaku ketika perlawanan antarabangsa Tier 1, Malaysia menentang Jordan pada 30 Ogos lalu, iaitu daripada 12,767 tiket yang terjual, 5,082 tiket dibeli di kaunter tiket pada hari perlawanan.

“Justeru atas permintaan penyokong yang tidak semuanya dapat membeli tiket secara online, FAM memutuskan pilihan pembelian secara dalam talian dan di kaunter bagi perlawanan menentang UAE ini.

“Namun, selaras usaha FAM ke arah pelaksanaan jualan tiket secara dalam talian 100 peratus peratus, penyokong digalakkan membeli secara online untuk tiket perlawanan ini yang lebih murah berbanding dibeli di kaunter stadium,” katanya dalam kenyataan semalam.

Stuart berkata, tiket kanak-kanak yang sebelum ini berharga RM5 ditetapkan pada RM7 bagi perlawanan menentang UAE ini tanpa mengira pembelian di kaunter atau dalam talian.

“Ini bermakna, tiket kanak-kanak yang dibeli secara online tidak akan dikenakan sebarang caj pemprosesan yang sebelum ini dianggap terlalu tinggi oleh sesetengah pihak.

“Diharap penetapan kaedah harga tiket dan pilihan pembelian kali ini memberi pilihan kepada penyokong demi memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya,” katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2019 @ 5:30am
d