arena

McGoldrick selamatkan rekod Ireland

Oleh AFP

MICK McCarthy mula memfokuskan perhatiannya terhadap Euro 2020 selepas David McGoldrick memastikan rekod tanpa kalah Republik Ireland dalam aksi kelayakan dengan gol penyamaan 1-1 lewat perlawanan ke atas Switzerland awal pagi tadi.

Skuad McCarthy hanya berbaki lima minit sebelum mencatat kekalahan pertama kempen kali ini selepas Fabian Schar meletakkan pasukan Swiss itu di depan di Stadium Aviva di Dublin.

Namun McGoldrick memastikan Ireland mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan mereka dengan jaringan penyamaan dan mengekalkan mereka di puncak Kumpulan D.

“Saya gembira. Switzerland pasukan yang baik. Mereka menunjukkan dalam perlawanan. Mereka memberi tekanan terhadap kami. Saya gembira kami mampu teruskan,” kata McCarthy.

“Kami membuktikan ketabahan dan keteguhan skuad Irish yang ditunjukkan ketika saya menjadi pemain dan pengurus. Kami berhak mendapatkannya.”

Ireland mempunyai kelebihan tiga mata ke atas Denmark di tangga kedua dan enam mata mengatasi Switzerland di tangga ketiga yang bagaimanapun mempunyai berkelebihan dua perlawanan.

Disiarkan pada: September 6, 2019 @ 8:47am
d