arena

'Semangat penyokong motivasi saya'

Oleh AFP

ALEX Oxlade-Chamberlain gembira dapat kembali ke pangkuan skuad England selepas menyedari betapa pentingnya pasukan kebangsaan negara itu kepada peminat mereka sewaktu dia direhatkan akibat kecederaan.

Oxlade-Chamberlain tidak beraksi dalam tiga penampilan terakhir bersama England dalam kejohanan utama akibat kecederaan, tetapi dia akhirnya kembali cergas dan dinamakan di dalam skuad untuk aksi kelayakan Euro 2020 menentang Bulgaria awal pagi Ahad dan berdepan Kosovo minggu depan.

Pemain tengah Liverpool itu jelas sekali mahu diturunkan jika England layak ke Kejuaraan Eropah tahun depan memandangkan waktu rehat akibat kecederaan itu memberikannya perspektif baharu mengenai bagaimana peminat menikmati kempen skuad Three Lions itu.

Sewaktu skuad kendalian Gareth Southgate berada di Russia dan mara sehingga separuh akhir Piala Dunia tahun lalu, dia diketepikan akibat kecederaan lutut yang serius.

Namun Oxlade-Chamberlain tidak pernah melupakan skuadnya dan menonton salah satu perlawanan mereka menentang Belgium dari sebuah bar di timur London.

Cuba menyamarkan diri dengan menggunakan kaca mata dan topi, penyamaran Oxlade-Chamberlain bagaimanapun mudah dikesan tetapi dia menikmati saat dan keghairahan yang ditunjukkan penonton.

“Ini kali pertama saya menonton perlawanan dengan peminat pasukan saya,” kata Oxlade-Chamberlain di kem latihan England.

“Saya biasanya berada di stadium atau di rumah. Saya terkejut. Saya tidak pernah pergi ke sebuah bar di mana ada penyokong Liverpool atau Arsenal dan saya menonton bersama mereka. Saya tidak pernah pergi ke sebuah pub bersama peminat England untuk melihat betapa pentingnya perlawanan itu kepada mereka dan ia sesuatu yang luar biasa.

“Saya boleh melihat rakan sepasukan saya di skrin melakukan apa yang sering saya lakukan dan melihat bagaimana reaksi mereka. Saya juga mengagumi mereka.

“Suasananya sungguh istimewa, merasai sendiri suasana itu, ia bukan sesuatu yang saya jangkakan. Itulah detiknya di mana saya sedari, saya terlepas sesuatu yang penting, apa maknanya kepada semua orang.

“Orang bergegas pulang dari kerja dengan kemeja dan tali leher, bagaikan seluruh negara menyaksikannya. Saya melihat beberapa orang doktor, beberapa remaja di bandar ini, beberapa tukang paip, semuanya datang ke sini.”

Disiarkan pada: September 6, 2019 @ 10:08am
d