arena

Serena ke final Terbuka AS

Oleh AFP

SERENA Williams mara ke final Terbuka Amerika Syarikat buat kali kesepuluh apabila mengetepikan cabaran pilihan kelima Elina Svitolina 6-3, 6-1 untuk melakarkan kemenangan ke-101 di Flushing Meadows.

Serena kini memburu gelaran Grand Slam ke-24 untuk menyamai pencapaian terbaik sepanjang zaman yang dilakukan Margaret Court dan akan berdepan sama ada Belinda Bencic atau Bianca Andreescu untuk menjulang gelaran Terbuka AS ketujuhnya.

Pemain AS berusia 37 tahun itu yang membuat penampilan sulung Terbuka AS pada 1998, menyamai pencapaian Chris Evert dengan kemenangan terbanyak dalam sejarah kejohanan selepas mara ke final kejohanan utama sebanyak 33 kali.

“Ia mengagumkan. Berada sebaris dengan Chrissie memang menakjubkan,” kata Serena yang menjulang gelaran Grand Slam pertamanya di Terbuka AS.

“Saya tidak boleh lakukannya tanpa penyokong ini. Anda bersama saya selama 20 tahun dan saya masih di sini.”

Serena berjaya mendapatkan enam break point menerusi tiga permainan servis awalnya sebelum menemui rentak untuk mengetepikan pemain separuh akhir Wimbledon, Elina dalam tempoh 70 minit mencatat 34 winner berbanding 20 error.

“Saya tahu bagaimana dia (Elena) bermain, dia pemain yang bagus. Jelas sekali dua separuh akhir berturut-turut sesuatu yang sukar dilakukan saya tidak mahu bermula perlahan tetapi terus bertahan.”

Disiarkan pada: September 6, 2019 @ 11:50am
d