arena

Bale sedia harungi gelora baru

Oleh Reuters

PENYERANG Real Madrid Gareth Bale menjangkakan hubungan keruhnya dengan kelab Sepanyol itu akan menjadi semakin bergelora meskipun bermula cemerlang untuk kempen musim ini selepas hampir meninggalkan kelab itu selepas akhir musim lalu.

Pemain Wales berusia 30 tahun itu terbabit dalam pertelingkahan dengan Zinedine Zidane pada musim rehat liga dengan jurulatih itu menyatakan beliau suka jika Bale meninggalkan kelab itu, biarpun perpindahan ke kelab China Jiangsu Suning dibatalkan.

“Saya faham bahawa saya sering dipersalahkan tetapi saya tidak begitu mengendahkannya biarpun mungkin tidak semuanya adil,” kata Bale menjelang aksi kelayakan Kejohanan Eropah membabitkan Wales dan Azerbaijan awal pagi esok.

“Saya tidak boleh katakan saya bermain dengan gembira, apabila saya bermain saya bermain secara profesional dan memberikan segala-galanya yang saya miliki, tidak kira sama ada untuk kelab atau negara.

“Saya pasti akan datang banyak lagi gelora, saya fikir ia sesuatu yang anda perlu bincangkan dengan Real, di antara saya dan mereka, kami perlu mencapai satu persetujuan.”

Disiarkan pada: September 6, 2019 @ 12:21pm
d