arena

JDT II mara ke separuh akhir

Oleh Rizar Mohd Noor

JOHOR Darul Ta'zim II (JDT II) menepati ramalan untuk melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Kelantan 3-1 pada aksi Kumpulan A Piala Cabaran di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam ini.

Kemenangan itu juga menyaksikan JDT II yang menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kedua musim ini berjaya mengumpul sembilan mata tanpa kekalahan selepas mengharungi tiga perlawanan dan aksi terakhir menentang Sarawak, Khamis ini menjadi penentu bagi memastikan rekod bersih tanpa tewas kekal.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk memperolehi gol pembukaan seawal minit ketujuh selepas bola umpanan Ramadhan Saifullah Usman membuka ruang buat Mohamad Ghaddar merembat bola leret menewaskan penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh.

Skuad The Red Warriors (TRW) yang turun tanpa kelibat pemain import ternyata `hanyut' dengan asakan barisan pemain Ervin Boban yang begitu ghairah mengasak ke benteng pasukan itu untuk terus menambah jaringan.

Anak didik Yusri Che Lah tidak dapat menahan asakan bertubi-tubi tuan rumah dan merelakan gol kedua tuan rumah terhasil pada minit ke-25 selepas bola gerakan S Kumaahran disudahkan Ramadhan yang merembat bola leret menewaskan Muhammad Fikri.

Gawang pelawat terselamat daripada dibolosi gol ketiga selepas bola tandukan Ghaddar pada minit ke-28 hasil sepakan lintang Nicolas Fernandez sempat dikuis keluar Mohammad Fikri yang terpaksa bekerja keras dalam perlawanan itu.

Babak kedua bersambung, tuan rumah menambah derita skuad TRW selepas berjaya mencipta gol ketiga perlawanan pada minit ke-49 apabila Nicolas Fernandez yang melambungkan bola tepat kepada Kumaahran bertindak pantas menjaringkan gol.

Serang balas pelawat pada minit ke-73 berjaya menghasilkan gol apabila pemain gantian, Fauzi Roslan yang tidak dikawal bertindak melambungkan bola melepasi jangkauan penjaga gol, Haziq Nadzli.

Walaupun melakukan beberapa gerakan dalam cubaan menambah jaringan buat kedua-dua pasukan namun kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi kumpulan B, Selangor United memperolehi tiga mata selepas mengharungi lima perlawanan dan kemenangan tipis kepada Kuala Lumpur, 1-0 di Stadium KLFA, Cheras, malam ini belum cukup mengubah kedudukan pasukan terbawah kumpulan itu.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Rafiq Shah Zaim pada minit ke 67.

Disiarkan pada: September 6, 2019 @ 11:24pm
d