arena

Belanda bangkit 'ajar' Jerman

Oleh AFP

JURULATIH Jerman Joachim Loew berkata pasukannya bermain di bawah tahap terbaik mereka selepas jaringan daripada Frenkie de Jong dan Georginio Wijnaldum menyaksikan Belanda meraih kemenangan 4-2 ke atas seteru lama mereka di Hamburg, awal pagi tadi.

Ketinggalan satu gol hampir sepanjang perlawanan, Belanda mempamerkan kebangkitkan pada separuh masa kedua ketika kedua-dua pasukan berjiran itu memperbaharui permusuhan mereka buat kali keempat dalam tempoh 11 bulan.

“Kami kecewa dengan keputusan itu tetapi Belanda adalah pasukan yang baik,” kata Loew.

“Kami bermain di bawah tahap teknikal sebenar dan sering kehilangan bola. Ia membolehkan lawan memberi tekanan.”

Pengendali Belanda Ronald Koeman berkata skuad Jerman kelihatan ‘letih’ dan hanya mendahului kerana pasukannya melakukan kesilapan.

Skuad Koeman hadir ke perlawanan itu dengan tekanan.

Tiga mata daripada dua perlawanan pertama bermakna kekalahan akan menyaksikan mereka ketinggalan sembilan mata daripada kelayakan automatik dalam Kumpulan C.

Jerman sebaliknya, mempunyai semangat tinggi. Kemenangan 3-2 ke atas Belanda di Amsterdam Mac lalu menyingkirkan kekecewaan Piala Dunia dan skuad baharu kendalian Loew tiba di Hamburg dengan penuh keyakinan.

Kemenangan itu menyaksikan Belanda merapatkan jurang mereka dengan Jerman kepada hanya tiga mata, dengan kurang satu perlawanan berbanding lawan mereka.

Ia juga memastikan Ireland Utara kekal di puncak kumpulan sebelum pertemuan dengan Jerman di Belfast awal pagi Selasa yang dianggap Loew perlu mereka menangi.

“Saya jangkakan reaksi daripada pasukan. Kami perlu tewaskan Ireland Utara.”

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 8:20am
d