arena

Russia hukum 'ketakutan' Scotland

Oleh AFP

KAPTEN Scotland Andy Robertson melabelkan pasukannya sebagai ‘penakut’ selepas mendahului perlawanan sebelum tewas 1-2 kepada Russia dan secara realistiknya menamatkan harapan untuk kelayakan automatik ke Euro 2020.

Jaringan awal John McGinn hanya ganjaran buat permulaan positif Scotland tetapi gol penyamaan Artem Dzyuba lima minit kemudian sebelum tamat separuh masa pertama bagaikan menyerap tenaga dan keyakinan tuan rumah.

Russia menguasai separuh masa kedua dan berkemungkinan boleh memenangi lebih daripada gol saguhati apabila Stephen O'Donnell tertolak hantaran berbahaya Aleksandr Golovin ke gawang sendiri selepas sejam perlawanan berlansung.

“Kami perlu salahkan diri sendiri,” kata bek kiri Liverpool, Robertson.

“Kami bermula dengan baik, menjaringkan gol dan kemudian ia seolah-olah gol itu yang menakutkan kami.

“Saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini sebelumnya. Ia perlu berubah kerana jika kami mendahului, ia sepatutnya positif bukan negatif.”

Selepas membuka kempen mereka dengan kekalahan teruk 0-3 kepada Kazakhstan yang menyebabkan Alex McLeish dipecat, Scotland cuba mengejar dan memerlukan kemenangan untuk mengekalkan impian berada dalam kelompok dua terbaik Kumpulan I.

Belgium yang akan berkunjung ke Hampden awal pagi Selasa, mendahului kumpulan dengan 15 mata dengan Russia hanya tiga mata ketinggalan di tangga kedua, enam mata mendahului Scotland yang menduduki tangga keempat di belakang Kazakhstan.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 8:29am
d