arena

Pandelela tarik diri terjun kolam

Oleh Iskandar Shah Mohamed

RATU terjun negara, Pandelela Rinong terpaksa menarik diri daripada acara 10 meter (m) platform seirama wanita Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini, selepas mengalami kecederaan belakang, hari ini. 

Keputusan itu dibuat selepas Pandelela menyempurnakan terjunan kedua bersama gandingannya, Leong Mun Yee dalam aksi final berkenaan. 

Acara yang hanya ditandingi gandingan Korea Utara, Jo Jin Mi/ Kim Mi Rae itu kemudian dihentikan dan dikategorikan penganjur sebagai tiada pemenang. 

Pandelela mengakui sudah merasai kesakitan belakang namun nekad mahu meneruskan terjunan dalam acara itu pagi tadi.  

"Namun, impak air selepas terjunan kedua menyebabkan kesakitan itu semakin dirasai dan dinasihatkan jurulatih supaya menarik diri bagi mengelak risiko kecederaan lebih teruk.  

"Ia kesan kecederaan lama dan saya mungkin memerlukan beberapa hari untuk kembali pulih. Masa tidak memihak kepada saya kali ini," kata atlet berusia 26 tahun dari Sarawak itu.  

Dalam pada itu, pegawai teknikal kejohanan berkenaan, Tony Koh Kok Beng mengesahkan seorang daripada penerjun Korea Utara didakwa turut tidak didaftarkan dalam senarai rasmi acara terbabit.  

"Ia menyebabkan penyertaan mereka itu dibatalkan kerana melanggar peraturan ditetapkan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).   Penarikan diri penerjun Malaysia sebelum itu juga sekali gus menjadikan acara berkenaan sebagai tiada pemenang," katanya.  

Untuk rekod, Pandalela sebelum ini turut terpaksa menarik diri dalam beberapa acara termasuk Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 akibat mengalami kecederaan belakang sejak 2015.  Setakat ini, Olahragawati Kebangsaan 2015 itu sudahmelayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bersama Mun Yee dan Wendy Ng Yan Yee.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 6:04pm
d