arena

Three Lions belum selamat: Southgate

Oleh AFP

GARETH Southgate mengakui England tidak boleh terpedaya dengan dominasi awal pada kempen kelayakan Euro 2020 kerana mereka akan berdepan ujian lebih getir berbanding Bulgaria ketika menewaskan mereka 4-0 di Wembley awal pagi semalam.

Harry Kane meledak hatrik keduanya bersama England dan juga membantu jaringan Raheem Sterling ketika skuad Southgate mengukuhkan kedudukan mereka di puncak Kumpulan A.

Menerusi tiga kemenangan berturut-turut dan 14 jaringan, pasukan yang mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 itu hampir pasti layak ke Euro 2020.

Perlawanan kelayakan seterusnya adalah pada awal pagi Rabu di Southampton apabila menentang pasukan di tangga kedua, Kosovo yang menewaskan Republik Czech 2-1 sebelum itu dan Southgate mendakwa mereka mampu memberikan ujian lebih getir berbanding Bulgaria.

Namun, kejohanan tahun depan yang membabitkan beberapa perlawanan di England kini dalam perhatian Southgate dan mengakui lebih banyak dipelajarinya daripada sesi latihan berbanding perlawanan peringkat kumpulan.

“Kami tidak berdepan perlawanan sengit dan mencabar seperti Liga Negara Eropah yang mampu kami pelajari daripadanya,” kata Southgate.

“Justeru kami perlu melakukannya ketika latihan dan cabaran ketika latihan sepatutnya lebih tinggi yang mampu membuat kami belajar daripadanya dan melihat kemampuan sebenar pemain.

“Kami berdepan saingan sengit untuk merebut tempat, ada lima atau enam pemain yang anda boleh jangkakan berada dalam senarai pasukan tetapi di luar daripada itu, sukar untuk kami menilainya.”

Southgate menyedari biarpun Bulgaria mampu memecah pertahanan England - mereka berjaya melakukannya dua kali pada separuh masa pertama sebelum mensia-siakan peluang - banyak yang perlu diusahakan pemainnya sebelum boleh bermimpi untuk menjulang piala.

“Adakah kami semakin meningkat? Saya fikir ya. Kami tidak berdiam diri selepas Piala Dunia.”

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 8:23am
d