arena

Coman julang Les Bleus

Oleh AFP

KINGSLEY Coman meledak dua gol ketika juara dunia Perancis mudah membenam Albania 4-1 awal pagi tadi untuk kembali ke tangga teratas kumpulan dalam aksi kelayakan Euro 2020.

“Segala-galanya menjadi buat saya,” kata Coman kepada televisyen Perancis selepas terpilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Penyerang Bayern itu tidak menyertai skuad Perancis yang menjulang Piala Dunia tahun lalu.

Awal pagi tadi, dia menggantikan Kylian Mbappe, satu daripada tiga pemain kesebelasan utama dari skuad perlawanan akhir di Moscow yang tidak beraksi akibat kecederaan.

Ditanya sama ada Coman akhirnya berada di landasan terbaiknya dalam kariernya sebagai pemain antarabangsa, jurulatih Perancis Didier Deschamps berkata: "Ia begitu hampir berbanding apa yang dilakukannya bersama Bayern tahun lalu. Dia lebih cenderung menjaringkan gol. Dia semakin bijak membuat keputusan.”

Iceland mendahului seketika kedudukan Kumpulan H selepas menewaskan Moldova 3-0 dan disertai Turki, yang menjaringkan gol saat akhir untuk mengatasi Andorra 1-0 begitu juga Les Bleus yang berada di puncak hasil kelebihan gol.

Permainan bermula lewat kerana tuan rumah memainkan lagu kebangsaan Andorra.

“Ia satu perkara yang besar,” kata jurulatih Albania dari Itali Edoardo Reja.

"Pemain berkata mereka tidak akan mula bermain jika lagu yang betul tidak dimainkan.”

Selepas juruhebah stadium meminta maaf kepada ‘penyokong Armenia’ lagu kebangsaan yang betul dimainkan.

Mungkin dengan semangat itu pemain Albania bermula dengan agresif dengan melancarkan serangan awal.

“Keputusan amat positif,” kata Deschamps.

“Kami patut menang lebih besar. Kami lakukan apa yang sepatutnya biarpun permainan kami lebih tenang pada akhirnya.”

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 8:41am
d