arena

Bianca juara baharu Terbuka AS

Oleh AFP

PEMAIN tenis remaja Bianca Andreescu berkata kejayaan menjulang gelaran Terbuka Amerika Syarikat awal pagi tadi begitu manis buatnya selepas kekalahan pada aksi kelayakan tahun lalu meragut semangatnya dan membuatnya berlegar di luar kelompok 200 pemain terbaik.

Pada ketika sama tahun lalu, Bianca hanya berada di rumah untuk merawat kecederannya dan terpaksa menerima hakikat dua kali berturut-turut gagal mara dalam undian utama di New York.

“Ia satu proses kehidupan. Anda tidak akan berada di atas sepanjang masa,” kata Bianca.

“Jadi saya fikir dalam detik seperti ini, anda hanya perlu menghadapinya sebaik mungkin, iaitu terus berjuang mengejar impian dan terus berusaha dan bersabar sebaik mungkin.

“Saya sedar pada ketika itu anda pasti berasa tidak mampu melakukannya tetapi jika anda yakin ada detik yang indah di hadapan, maka saat mencabar itu benar-benar bermakna.

“Saya fikir ia membentuk karakter anda. Saya fikir semua orang harus melaluinya kerana ia menjadikan anda lebih kuat.”

Setahun kemudian pemain berusia 19 tahun itu menjulang trofi Terbuka AS sebagai pemain pertama dari Kanada menjulang gelaran perseorangan Grand Slam dan pemenang kejohanan utama termuda selepas Svetlana Kuznetsova di sini pada 2004.

Dia berjaya menghalang impian Serena Williams untuk merangkul gelaran Grand Slam ke-24 dengan kemenangan 6-3,7-5, berjaya menahan kebangkitan pemain AS itu pada set kedua untuk menjadi pemain ketujuh menjulang kejuaraan utama buat pertama kali dalam 11 kejohanan terakhir.

“Ini bukan kali pertama saya membayangkan beraksi di final menentang Serena Williams. Ia memang tidak masuk akal,” kata Bianca yang terdiam seketika untuk mengingati sesuatu.

“Sudah lama saya impikan saat ini. Seperti yang saya katakan selepas memenangi Orange Bowl (pada 2015), beberapa bulan kemudian, saya benar-benar yakin mampu sampai ke tahap ini.

“Sejak itu secara jujurnya, saya membayangkannya hampir setiap hari. Sesuatu yang tidak masuk akal apabila ia menjadi realiti. Saya fikir teknik visualisasi ini benar-benar menjadi.”

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 9:38am
d