arena

Skuad kejar mengejar raih emas di India

Oleh Azlan Muhammad Zain

SKUAD kejar-mengejar berpasukan negara terlalu pantas apabila berjaya meraih emas di Kejohanan Trek Asia di India, hari ini.

Pada saingan yang berlangsung di Velodrom Kompleks Sukan Indira Ghandi di New Delhi, empat pelumba negara nyata tidak mengecewakan apabila menewaskan India di pentas final dalam kejar mengejar berpasukan elit.

Cabaran negara yang digalas Eiman Firdaus Mohd Zamri, Ariff Denial Noor Rosedi, Muhammad Yusri Shaari dan Muhammad Hakimi Nor berjaya mencatatkan empat minit 14.534 saat untuk menewaskan lawan di laman sendiri yang melakar 4:14.864s.

"Saya gembira dengan perkembangan pasukan ini kerana hanya Eiman Firdaus pelumba senior manakala tiga lagi adalah muka baru yang kita ketengahkan.

"Sasaran jangka pendek adalah di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korea pada Oktober selain Sukan Asia dan Komanwel 2022 bagi jangka panjang," kata jurulatih negara, Akmal Amrun.

Terdahulu dua pelumba wanita negara, Farina Shawati Mohd Adnan dan Anis Amira Rosidi terlepas peluang menaiki podium dalam acara pecut berpasukan apabila kecundang dalam perebutan gangsa.

Mereka tewas kepada pasangan tuan rumah, Aleena Reji dan Deborah Herold dengan gandingan Indonesia, Elga Kharisma Novanda dan Crismonita Dwi Putri melakar kejutan meraih emas apabila menewaskan pasangan Hong Kong di final.

Disiarkan pada: September 9, 2019 @ 7:47pm
d