arena

Malaysian Tigers berdepan ujian getir [METROTV]

Oleh Saiful Affendy Sapran

SKUAD hoki lelaki negara berdepan tugas sukar apabila bakal bertemu Britain pada aksi play off kelayakan Sukan Olimpik yang dijangka berlangsung awal November depan.

Menerusi majlis undian yang berlangsung di ibu pejabat Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Lausanne, Switzerland hari ini, ia nyata tidak memihak kepada Malaysian Tigers apabila terpaksa bertemu lawan yang menduduki ranking ketujuh dunia itu.

Menerusi format aksi play off itu, skuad negara akan beraksi dua perlawanan menentang Britain pada 1 dan 3 November di Stadium Olimpik London.

Ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans mengakui ia satu tugas sukar untuk barisan pemainnya.

"Sudah sememangnya ia undian yang sukar kerana kami akan bertemu Britain tetapi apapun kami perlu mengharunginya.

"Kita tidak boleh lagi mengubahnya. Tapi secara peribadi saya tidak percaya kepada semua 'sistem' ini.

"Masih ada lagi peluang untuk layak dan kami perlu bekerja keras bermula sekarang," katanya pada sidang media selepas tamat majlis undian.

Kali terakhir skuad negara layak ke temasya sukan terbesar dunia itu adalah pada Sydney 2000.

Disiarkan pada: September 9, 2019 @ 8:59pm
d