arena

Elak bolos awal

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

BEKAS penyerang kebangsaan, Azman Adnan optimis skuad Harimau Malaya mampu mengatasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada kempen Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Ia berdasarkan kepada peningkatan persembahan pemain selain faktor kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Menurutnya, UAE memiliki kekuatan yang sukar untuk ditangani serta menduduki ranking jauh lebih baik berbanding Malaysia namun ia bukan penentu kepada keputusan perlawanan.

“Malam esok (ini) perlawanan adalah berbeza, umpama perlawanan akhir juga kerana Malaysia amat memerlukan kemenangan atau sekurang-kurangnya keputusan seri. Bermain di laman sendiri... saya yakin kehadiran Ultras Malaya dan rakyat Malaysia yang akan menjadi pemain ke-12, bakal memberi semangat dan motivasi. Pemain akan berjuang hingga wisel penamat seterusnya mencipta kemenangan.

“Saya turut menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Indonesia tempoh hari dan tabik pemain negara yang menunjukkan semangat juang tinggi. Bukan senang bermain di Gelora Bung Karno dengan suasana provokasi penyokong. Tapi mereka bermain seperti ‘berperang’ hingga menjaringkan gol di minit akhir perlawanan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Untuk rekod, selepas tewas 0-10 kepada UAE pada aksi Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada 3 September 2015, skuad negara cuba bangkit tetapi tewas 1-2 kepada skuad sama di Stadium Shah Alam dalam aksi timbal balik pada 17 November 2015.

“Kepada pemain, teruskan rentak kemenangan dan cuba yang terbaik. Jangan terlalu ghairah bermain di gelanggang sendiri dan sentiasa fokus terutama bahagian pertahanan. Jika boleh elak dibolosi awal. Tapi Insya Allah pemain akan bersemangat, ghairah dan beri 200 peratus kerana bermain di laman sendiri pasti berbeza,” katanya.

Azman bagaimanapun tidak berhasrat mengulas taktikal dipraktikkan Tan Cheng Hoe kerana yakin dengan pengalaman dimiliki ketua jurulatih berasal dari Kedah itu.

“Beliau (Cheng Hoe) lebih mengenali pemainnya, bila hendak dimasukkan dan siapa akan bermain dan sebagainya. Selaku bekas pemain negara, saya perlu menghormati beliau.

“Sudah pasti esok (hari ini) stadium akan dipenuhi peminat setia bola sepak negara untuk beri sokongan kepada pasukan kebangsaan. Bukan saja di stadium malah seluruh negara. Saya sendiri sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan pemain Harimau Malaya,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan turut menegaskan bukan mustahil untuk Harimau Malaya menewaskan UAE.

“Dari segi pengalaman, UAE berada dalam keadaan terbaik ketika ini. Apatah lagi pemain mereka lama bermain bersama dan serasi. Pemain kita pula masih baharu, namun tahap keyakinan mereka bagus ketika bermain dengan Indonesia tempoh hari.

“Kita perlu berada dalam tahap memberangsangkan kerana UAE sebuah pasukan yang baik. Tidak mustahil dapat keputusan yang memihak kepada kita,” katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 6:00am
d