arena

Babel masih berbisa

Oleh AFP

DUA jaringan Ryan Babel membantu Belanda menewaskan Estonia 4-0 di Tallinn, awal pagi tadi seterusnya mencerahkan peluang dalam kempen kelayakan Euro 2020.

Skuad Ronald Koeman menduduki tangga ketiga Kumpulan C selepas meraih sembilan mata tetapi kurang satu perlawanan, tiga mata di belakang pendahulu, Jerman dan Ireland Utara di tempat kedua selepas pelawat menang 2-0 di Belfast.

"Sebelum perlawanan kami sedar jika kami tidak fokus sepenuhnya, ia akan menjadi malam yang sukar,” kata Babel yang berusia 32 tahun kepada NOS TV.

"Sangat teruja dapat menjaringkan dua gol kali pertama dalam karier antarabangsa. Saya bukan lagi pemain muda dalam pasukan jadi saya cuba atasi kekurangan kelajuan dengan menggunakan pengalaman.”

Memphis Depay yang tampil kali ke-50 bersama Belanda turut cemerlang menembusi gawang Estonia manakala Georginio Wijnaldum meledak jaringan kali kedua dalam masa empat hari selepas turut menggegar jaring lawan ketika menang 4-2 ke atas Jerman Jumaat lalu di Hamburg.

Belanda, juara Euro 1988 berusaha kembali gegar Eropah selepas gagal melakukannya pada Euro 2016 dan Piala Dunia tahun lalu. - AFP

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 8:06am
d