arena

Poland tak terdaya robek Austria

Oleh Reuters

DUA pasukan teratas Kumpulan G, Poland dan Austria seri 0-0 dalam aksi kelayakan Euro 2020 di Warsaw awal pagi tadi manakala kemenangan 3-2 Slovenia ke atas Israel membolehkan pasukan itu hanya ketinggalan dua mata di belakang Poland selaku pendahulu kumpulan.

Poland memiliki rekod kemenangan 100% selepas empat perlawanan tetapi dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada Slovenia, Jumaat lalu.

Austria hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi tandukan Marko Arnautovic yang terkena tiang.

Penyerang Poland, Robert Lewandowski yang berusia 31 tahun mencipta penampilan ke-100 terlepas peluang terbaik apabila hanya berdepan penjaga gol, Cican Stankovic selepas mendapat hantaran Kamil Grosicki pada minit ke-30.

Rekod kap Lewandowski disamakan pemain tengah Jakub Blaszczykowski, 33, yang masuk pada minit ke-58 tetapi pemain tengah itu terpaksa dikeluarkan 19 minit kemudian akibat kecederaan.

Poland muncul pendahulu dengan 13 mata daripada enam perlawanan, dua mata mengatasi Slovenia yang menewaskan Israel 3-2 hasil dua jaringan Benjamin Verbic termasuk gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.

Austria di tangga ketiga dengan 10 mata, dua mata mengatasi Macedonia Utara yang menewaskan Latvia, 2-0 dan Israel.

Latvia kekal tercorot tanpa sebarang mata dan dua pasukan teratas mara ke pusingan akhir tahun depan.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 8:38am
d