arena

Sukri optimis mampu atasi Great Britain

Oleh BERNAMA

KAPTEN pasukan hoki lelaki kebangsaan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib optimistik Malaysian Tigers mampu mencipta kejutan ke atas Great Britain dalam pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia yang baru melonjak satu tempat ke kedudukan ke-11 dunia pada Ahad, diberikan laluan sukar apabila diundi menentang pemenang pingat emas Olimpik sebanyak tiga kali itu, berbanding negara lain seperti Sepanyol, New Zealand dan Kanada pada majlis undian di Switzerland, semalam.

Selain berhadapan dengan pasukan kuat, pemain negara juga terpaksa menghadapi perbezaan waktu selama tujuh jam dan cuaca permulaan musim sejuk apabila beraksi di Lee Valley Hockey and Tennis Centre, London pada 2 dan 3 Nov ini, di mana suhu boleh jatuh ke paras bawah 15 darjah Celsius.

Bagaimanapun, Sukri mahu rakan sepasukan mengulangi prestasi dipamerkan ketika Jelajah Eropah pada bulan lalu yang menyaksikan Malaysian Tigers mengikat England 3-3 dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Untuk saingan Sukan Olimpik, pasukan Great Britain akan disertai majoriti pemain daripada pasukan nombor tujuh dunia England, Wales (18) dan Scotland (19).

“Kita ada beberapa aspek positif yang kita boleh terapkan dalam pasukan. Sebelum ketua jurulatih, Roelant Oltmans mengambil alih, kita agak bermasalah apabila bertemu pasukan Eropah, terutamanya Great Britain tetapi pada tahun ini, kita berjaya rapatkan jurang dengan England.

“Saya rasa kita sudah semakin memahami struktur permainan yang ingin diterapkan Roelant ketika ini. Saya yakin kita dapat mengulangi pencapaian layak ke Piala Dunia 2018 secara merit di London (menerusi Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia) pada kali ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 12:30pm
d