arena

Tiada halangan LTdL ke Borneo

Oleh Azlan Muhammad Zain

PENGANJUR perlumbaan berbasikal berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL), Human Voyage Sdn Bhd memanjangkan cadangan untuk menyenaraikan Sabah dan Sarawak pada edisi ke-25, tahun depan.Menurut Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab, ia cadangan yang dikemukakan penganjur perlumbaan pada pertemuan bersamanya beberapa hari lalu.

"Kami bertemu pada Sabtu lalu dengan mereka mengemukakan cadangan agar perlumbaan dipanjangkan dari lapan kepada 10 peringkat pada tahun depan.

"Ia turut merangkumi laluan di Sabah dan Sarawak.

Bagi saya, PKBM tidak mempunyai halangan sekiranya perlumbaan dipanjangkan kepada 10 peringkat selain turut membabitkan Sabah dan Sarawak," katanya.Kali terakhir LTdL diadakan 10 peringkat adalah pada 2014.

Manakala kali terakhir LTdL ke Sabah dan Sarawak adalah pada 1997 namun berdepan masalah logistik.

"Saya akan panjangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain memaklumkan masalah yang berlaku pada 1997.

Jika penganjur mampu melakukannya, kita tidak mempunyai masalah untuk panjangkan permohonan kepada UCI," katanya.

Pada masa sama menurut Abu Samah, pihak penganjur juga mahu memohon tarikh perlumbaan agar kembali diadakan pada Februari selepas UCI memberikan tarikh pada April 2020, seperti tahun ini.

Perlumbaan edisi ke-25 LTdL pada tahun depan adalah selaras dengan sambutan Jubli Perak penganjurannya.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 5:23pm
d