arena

Ronaldo amuk kubu Lithuania

Oleh Reuters

KAPTEN Portugal Cristiano Ronaldo meledak gol antarabangsa ke-93 selepas empat jaringannya membolehkan juara Eropah itu menewaskan Lithuania 5-1 di tempat lawan dalam aksi kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.

Pemain berusia 34 tahun itu yang beraksi kali ke-161 mencipta hatrik kelapan buat negaranya dan ke-54 sepanjang karier bagi membantu kemenangan Portugal sekali gus mencerahkan peluang ke pusingan akhir tahun depan.

Ronaldo menyempurnakan penalti pada minit kelima tetapi Vytautas Andriuskevicius mengejutkan pelawat dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-28.

Ronaldo kembali meletakkan Portugal di depan pada minit ke-62 menerusi rembatan yang gagal ditampan kemas penjaga gol Lithuania, Ernestas Setkus dan kemudiannya menjaringkan dua lagi gol selepas mendapat hantaran Bernardo Silva.

"Saya menjaringkan satu gol ketika menentang Serbia dan empat gol hari ini, jadi saya harap momentum ini akan berterusan,” kata Ronaldo.

William Carvalho melengkapkan kemenangan Portugal pada minit akhir perlawanan. Portugal menduduki tangga kedua di belakang Ukraine dalam Kumpulan B dengan lapan mata tetapi beraksi kurang satu perlawanan.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 7:17am
d