arena

Hatrik Martinez calar ego Mexico

Oleh Reuters

LAUTARO Martinez menjaringkan hatrik dalam masa 40 minit ketika Argentina menewaskan Mexico 4-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di San Antonio, awal pagi tadi.

Penyerang Internazionale itu memanfaatkan kelonggaran pertahanan lawan dengan meledak tiga jaringan melepasi jangkauan penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa pada minit ke-17, 22 dan 39. Leandro Paredes menyempurnakan penalti pada minit ke-33.

Argentina meredakan asakan pada babak kedua tetapi gagal dimanfaatkan Mexico yang gagal melakukan percubaan tepat ke arah gawang lawan sepanjang 90 minit tempoh permainan.

Lapan pemain dilayangkan kad kuning dalam perlawanan itu, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dalam aksi persahabatan tetapi Martinez yang berusia 22 tahun pantas mencuri tumpuan dengan hatrik antarabangsa pertamanya.

"Saya sangat gembira dan emosi,” katanya. “Seseorang perlu melakukan banyak pengorbanan dan bukan setiap hari anda dapat menjaringkan tiga gol dengan memakai jersi ini.”

Kekalahan itu yang terburuk buat Mexico sejak tewas 0-7 kepada Chile pada 2016 dan yang pertama sejak dibawah kendalian Gerardo Martino. Mexico tidak kalah dalam 11 perlawanan sejak Martino mengambil alih tugas pada Januari lalu.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 1:18pm
d