arena

NS tekad terus menang

Oleh Mohd Amin Jalil

NEGERI Sembilan menjadikan kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC) sebagai motivasi apabila turun menentang PKNS FC dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Perancang tengah skuad itu, Izuan Salahuddin berkata, dia dan rakan sepasukan akan menggunakan peluang ada untuk eneruskan rentak kemenangan.

Katanya, biarpun bakal beraksi di gelanggang lawan namun keyakinan setiap pemain meningkat hasil kemenangan pertama di laman sendiri pada sebelum ini.

"Malah, tempoh rehat selama lebih dua minggu digunakan dengan baik terutama dalam menilai kembali persembahan kami pada aksi sebelum ini dan yakin dengan kemampuan untuk terus menang.

"Fokus ketika ini menewaskan PKNS bagi membuka peluang ke peringkat suku akhir dan andai usaha itu gagal, impian kami berkubur," katanya di Seremban, hari ini.

NS menghidupkan peluang ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan pertama menewaskan TFC 3-2 dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada 23 Ogos lalu.

Bagaimanapun skuad Hobin Jang Hobin masih menduduki tangga tercorot dalam kumpulan berbanding TFC di tangga teratas dengan sembilan mata, diekori Kedah (tujuh mata) dan PKNS (empat mata).

Izuan berkata, pasukannya perlu bersikap lebih berhati-hati dengan strategi dan penampilan skuad bimbingan Datuk K Rajagobal itu kerana tempoh rehat panjang serba sedikit mempengaruhi persembahan dan sukar dijangka.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 2:35pm
d