arena

Projek 24 idea baru BAM

Oleh Ferzalfie Fauzi

SEDAR bahawa tekanan dan harapan peminat semakin tinggi, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melalui Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) tampil dengan perancangan baru diberi nama 'Projek 24'.

Menurut Pengurusi C&T, Datuk Kenny Goh, perancangan yang akan dibawa ke Ahli Majlis BAM untuk mendapat kelulusan, meliputi kepada memperkasakan kembali Malaysia agar menjadi pasukan hebat dalam badminton dunia.

"Projek 24 juga meletakkan sasaran untuk meraih emas di Sukan Olimpik Paris 2024.

Kita juga cuba melayakkan diri ke Piala Thomas 2024," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat C&T di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara semalam.

Ujar Kenny, Projek 24 juga menekankan kekuatan semangat sepasukan dan fokus sepenuhnya kepada kemenangan.

"Ini bukan bermakna kita mengenepikan Olimpik 2020, kita percaya dalam setiap perjalanan akan ada persinggahan. Persinggahan ini sangat penting bagi kita menilai semula pencapaian terkini.

"Tidak akan ada pemain yang sentiasa kalah mampu untuk berjaya pada 2024. Secara logik ia tidak akan berlaku seperti itu.

Jadi 2020, 2021, 2022, 2023 akan ada persinggahan (kejohanan besar) yang sangat penting buat kita.

"Kita juga akan memperkenalkan struktur kejurulatihan baru kepada Ahli Majlis iaitu merangkumi tiga blok, pasukan lelaki akan diketuai oleh Datuk Misbun Sidek, skuad wanita diketuai Datuk Tey Seu Bock dan ketiga ialah pasukan beregu campuran diketuai Chin Eei Hui," katanya.

Kenny berkata, struktur baru itu adalah untuk memberi fokus kepada acara berpasukan supaya tidak berlaku lagi perkara sebelum ini di mana mata disumbangkan oleh Datuk Lee Chong Wei dan pasangan beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sedangkan mata kemenangan membuatkan semua tertanya-tanya siapa yang mampu meraihnya.

"Kita mahu memberi perangsang untuk memperkasakan acara berpasukan namun kita tidak mengabaikan acara individu sama seperti Olimpik 2020.

Semua pemain akan dinilai pada 31 Disember ini," katanya.

Ditanya mengenai siapa yang menjadi sandaran emas pada Olimpik 2024, Kenny yang juga Setiausaha Agung BAM menjelaskan ia hanya akan dilihat melalui setiap hentian (kejohanan besar) yang bakal dilalui dari 2020 hingga 2023.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 6:29pm
d