arena

Juwaidi, Iman Aisyah ke final compound

Oleh Azlan Muhammad Zain

MOHD Juwaidi Mazuki dan Iman Aisyah Norazam mempamerkan prestasi cemerlang apabila memastikan tiket final acara individu lelaki dan wanita compound pada siri ketiga Piala Asia di Clark City, Filipina, hari ini.

Bagaimanapun aksi final yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu boleh dianggap sebagai ujian kekuatan mental kepada Juwaidi dan Iman Aisyah yang turun menentang dua wakil tuan rumah di final.

Juwaidi, meraih tiga emas semasa siri kedua Piala Asia di Taiwan akan menentang Paul Marton De La Cruz yang menyingkirkan seorang lagi pemanah negara, Syahrizan Jafar di separuh akhir.

"Saya berharap dapat menggunakan peluang untuk terus menimba pengalaman apabila turun dalam perlawanan final.

Bukan mudah untuk bertemu dengan lawan mewakili tuan rumah di pentas akhir," jelas Juwaidi.

Pemanah berusia 29 tahun itu mara ke final acara individu apabila menewaskan Sirapop Chainak dari Thailand 145-143 mata di pentas separuh akhir pada saingan yang berlangsung dalam keadaan hujan.

Seorang lagi wakil tuan rumah, Andrea Robles pula menjadi penghalang Iman Aisyah yang melakar kejutan mara sehingga ke pentas final bagi saingan wanita.

Pemanah negara berusia 21 tahun berkenaan menewaskan rakan senegara yang lebih berpengalaman, Nurul Syazhera Mohd Asmi di separuh akhir 143-138 mata manakala Fatin Nurfatehah Mat Salleh terkandas di suku akhir.

Bagaimanapun nasib pemanah recurve sebaliknya pada kejohanan yang turut diangkat sebagai pra Sukan SEA 2019 apabila gagal mara final.

Naib juara dunia, Khairul Anuar Mohamad akan turun penentuan gangsa selepas disingkirkan pemanah China, Zhenqi Shi 7-1 di separuh akhir.

Mereka akan meneruskan saingan dalam acara berpasukan esok.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 7:16pm
d