arena

Fatehah buat Crismonita berputih mata

Oleh Azlan Muhammad Zain

RATU trek negara, Fatehah Mustapa terus mempamerkan kebangkitan apabila memastikan emas dalam acara keirin pada Piala Trek Asia di India, hari ini.

Keputusannya melakukan pecutan pada saat akhir pada final keirin di Velodrom Kompleks Indira Ghandi di New Delhi membuahkan hasil apabila berjaya memintas pelumba Indonesia sedang meningkat naik, Crismonita Dwi Putri.

Crismonita terpaksa akur dengan perak manakala gangsa milik pelumba Hong Kong, Cho Yiu Yeung pada perlumbaan itu yang turut membabitkan dua pelumba Yayasan Sime Darby, Anis Amira Rosidi dan Farina Shawati Mohd Adnan.

Pada aksi pecut individu semalam, Fatehah meraih perak apabila dikecewakan Crismonita yang meraih emas sama seperti dilakukan pada Kejohanan Trek Asia Tenggara di Velodrom Nasional, Nilai pada bulan lalu.

Bagaimanapun Fatehah pernah beraksi pada Olimpik 2012 itu menggunakan pengalamannya apabila menunggu masa yang sesuai untuk melakukan pecutan pada saingan membabitkan enam pelumba itu.

Ketika Crismonita selesa mendahului perlumbaan dan menghampiri garisan penamat sebagai juara, Fatehah mengerah kudrat yang ada untuk memastikan dirinya muncul pemenang.

Fatehah mengalami kemerosotan prestasi sehingga digugurkan dari skuad ke Sukan Asia 2018 selain dipotong elaun, kini kembali mempamerkan kebangkitan bermula di Kejohanan Trek Asia Tenggara bulan lalu.

Secara keseluruhan emas yang diraih Fatehah adalah yang keempat bagi Malaysia dengan tiga lagi disumbangkan barisan pelumba trek endurance.

Pada saingan hari pertama, skuad kejar-mengejar yang dibarisi Ariff Denial Noor Rosedi, Muhammad Hakimi Nor, Muhammad Yusri Shaari dan Eiman Firdaus Mohd Zamri meraih emas.

Ia disusuli emas Yusri dalam acara scratch manakala Eiman Firdaus memenangi emas kejar-mengejar individu.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 7:47pm
d