arena

James senjata United robek kubu lawan

Oleh Reuters

REKOD perpindahan pemain Manchester United sejak beberapa musim lalu tidak menggembirakan dengan pemain seperti Henrikh Mkhitaryan, Alexis Sanchez, Memphis Depay dan Fred gagal menyinar di Old Trafford.

Bagaimanapun, bekas pemain sayap Swansea City, Daniel James pantas mencuri tumpuan sehingga dibandingkan dengan bekas bintang Wales, Ryan Giggs.

United menerima kunjungan Leicester City di tempat sendiri Sabtu ini dengan misi meraih tiga mata selepas hanya satu kemenangan daripada empat aksi pertama Liga Perdana.

Dengan tujuh mata di belakang musuh tradisi yang juga pendahulu, Liverpool, penyokong United sudah pasti mengharapkan James dapat mengubah nasib United menerusi kepantasan dan kelicikannya menjaringkan gol.

Sejak berpindah dari Swansea dengan harga 15 juta pound (RM77 juta), James sudah pun menjaringkan tiga gol dalam liga termasuk satu ketika kali pertama diturunkan menewaskan Chelsea 4-0. Dia juga menjaringkan gol menarik ketika tewas 1-2 kepada Crystal Palace dan ketika seri 1-1 dengan Southampton.

James sekali lagi menemui sasaran ketika Wales menentang Belarus dalam aksi persahabatan antarabangsa dan Giggs, pengurus pasukan kebangsaan negaranya memuji kemampuan pemain berusia 21 tahun itu yang dianggap salah seorang pemain terbaik ditandangani pada jendela perpindahan.

"Dia salah seorang daripadanya, anda tahu apa akan dilakukannya tetapi anda tak dapat menahannya,” kata Giggs kelmarin merujuk kepada kemampuan pemain muda itu.

"Seperti pemain muda yang lain, mereka perlu perbaiki situasi bola akhir tetapi dia berjaya melakukannya.”

James boleh menjadi pemain kedua United menjaringkan gol dalam tiga aksi pertama di Old Trafford selepas pengurus sekarang, Ole Gunnar Solskjaer melakukannya pada 1996.

Leicester pula memulakan kempen musim baharu dengan cemerlang apabila menduduki tangga ketiga hasil dua kemenangan dan dua seri dibantu prestasi Jamie Vardy yang kembali digeruni pertahanan lawan.

Disiarkan pada: September 12, 2019 @ 10:35am
d