arena

Kane boleh pecah rekod Rooney

Oleh AFP

WAYNE Rooney meramalkan Harry Kane akan memecah rekod jaringannya bersama England dalam tempoh “dua atau tiga tahun akan datang.”

Rooney meledak 53 gol buat England ketika bekas penyerang Manchester United itu memecah rekod terdahulu 49 gol milik Bobby Charlton.

Namun Rooney, kini beraksi dengan kelab Amerika Syarikat, DC United sebelum berpindah ke Derby County Januari depan, percaya kapten England, Kane berada dalam posisi terbaik untuk mengatasi pencapaiannya tidak lama lagi.

Penyerang Tottenham itu sudah menyumbat 26 gol bersama England pada usia 26 tahun selepas menokok gol pada kelayakan Euro 2020 menentang Bulgaria dan Kosovo.

“Saya tidak pernah mengambil mudah menjaringkan gol, saya suka menjaringkannya. Sebaik saya mengumpul 35 gol bersama England, saya boleh berasakan rekod semakin hampir,” kata Rooney.

“Saya tidak fikir ia akan bertahan 50 tahun seperti Bobby Charlton, saya fikir Harry Kane, mungkin dalam dua atau tiga tahun akan datang boleh melakukannya. Dia seorang penjaring gol fantastik dan rekodnya bersama England fantastik.

“Apabila saya melakar rekod dan kemudian kembali bagi perlawanan terakhir, saya menyatakan pasti satu penghormatan menganugerahkannya seperti Bobby Charlton memberikan saya kasut emas dan saya pasti ia boleh dilakukan tidak lama lagi.”

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 7:31am
d