arena

Drinkwater rehat dua minggu

Oleh Reuters

PEMAIN Burnley, Danny Drinkwater terpaksa diketepikan selama dua minggu selepas cedera ligamen buku lali susulan pergaduhan di luar kelab malam awal bulan ini.

Media Britain melaporkan awal minggu ini Drinkwater, yang dipinjamkan dari Chelsea, diserang di luar kelab malam Manchester dan pengurus Sean Dyche menyatakan Burnley menyokong pemain tengah itu.

“Ia tidak terlalu serius tapi ia tetap beberapa minggu,” kata Dyche pada sidang akhbar. “Apa yang penting dia seorang pemain bola sepak berusia 29 tahun dan tiada siapa mahu terbabit dalam situasi ini, dia tahu mengenainya.

“Pada masa sama, dia seorang manusia biasa dan kami juga pernah terbabit dalam suasana tidak bagus. Lupakan mengenai pemain bola sepak, kadang-kadang orang suka mengorek rahsia.

“Anda bukan hanya bercakap mengenai pembangunan apabila ia satu berita baik, anda turut perlu bekerja dengan pemain ketika masa sukar. Apabila anda membawa pemain ke kelab anda, ia sebahagian daripada kami. Jadi kami akan bekerja dengan Danny dan cuba membantunya.”

Burnley di tangga ke-12 liga dengan satu kemenangan daripada empat perlawanan dan Dyche mengesahkan Ashley Barnes, penjaring gol terbanyak mereka dengan empat gol musim ini, pulih daripada kecederaan pangkal paha dan boleh beraksi menentang Brighton, malam esok.

“Barnes cedera sedikit di pangkal paha tapi dia OK,” kata Dyche. “Pemain yang kembali daripada tugasan antarabangsa semuanya baik.”

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 7:47am
d