arena

Mourinho tak sabar mahu kembali

Oleh AFP

JURULATIH penganggur Jose Mourinho sudah cukup puas bercuti, katanya kepada televisyen Sepanyol awal pagi tadi, namun enggan mengambil alih pasukan kebangsaan atau menyertai mana-mana kelab pada pertengahan musim.

Mourinho dipecat Manchester United pada Disember 2018 selepas dua tahun yang agak berjaya namun dibayangi kejayaan kelab musuh setempat Manchester City.

Pengendali dari Portugal itu mencipta nama sebagai bos pemenang Liga Juara-Juara 2004, FC Porto, kemudian menjadi superstar menerusi kejayaan dan personalitinya di Chelsea, Real Madrid, Inter Milan dan akhirnya United.

Beliau meraih nama julukan ‘the Special One’ apabila menyertai Chelsea, selepas menyatakan mereka mencari pengurus ternama dan beliau adalah yang teristimewa.

“Sudah cukup, sudah terlalu cukup buat saya,” kata Mourinho selepas ditanya jika beliau seronok berehat selepas bertahun-tahun berada di kerusi panas.

“Saya menghabiskan musim panas kali ini seperti mana-mana penyokong buat kali pertama, kini saya faham bagaimana perasaannya,” katanya.

Dengan Kejohanan Eropah akan berlangsung pada 2020, jurulatih bermulut celupar itu ditanya jika beliau sedia mengendalikan pasukan kebangsaan.

“Mungkin dalam tempoh 10 tahun,” ujar jurulatih berusia 56 tahun itu.

“Ia sesuatu yang saya suka, membawa pasukan ke Kejohanan Eropah atau Piala Dunia, saya boleh melakukannya,” katanya.

“Tapi dua tahun dengan perlawanan yang sedikit (kelayakan) tidak kena dengan saya... saya suka mengendalikan latihan harian dan bermain dua atau tiga perlawanan seminggu.”

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 12:17pm
d