arena

Ada sasaran, tapi tunggulah...

Oleh Saiful Affendy Sapran

KONTINJEN negara yang akan beraksi pada temasya Sukan Sea Filipina bermula 30 November depan akan diletakkan sasaran pingat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali gus berbeza dengan pendekatan sebelum ini yang tidak meletakkan sasaran dengan alasan tidak mahu memberikan tekanan kepada atlet.

"Saya rasa bagi semua temasya memang ada sasaran tersendiri. Cuma saya mahu tanggungjawab ini digalas bersama.

"Bermakna kita tidak boleh meletakkan tekanan ke atas atlet sahaja. Sebagai menteri pun ada tekanan begitu juga dengan CDM (Ketua Kontinjen).

"Tidak terkecuali ISN (Institut Sukan Negara) dan MSN (Majlis Sukan Negara)," katanya.

Ditanya bilakah sasaran spesifik itu akan diumumkan, Syed Saddiq berkata ia akan dimaklumkan ketika menghampiri temasya dwi tahunan itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perjumpaan atlet Program Podium kelmarin.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata penilaian ke atas atlet Program Podium akan dilakukan selepas temasya Sukan Sea Filipina.

"Bukan sesuatu yang mudah untuk menggugurkan atau menggantikan satu-satu atlet itu dengan barisan atlet yang lebih muda," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 6:24pm
    d