arena

Kedah 'berpeluh' jinakkan TFC

Oleh Malik Muhamad

KEDAH terpaksa bermandi peluh sebelum layak ke suku akhir selepas membenam cabaran Terengganu FC (TFC) 3-2 pada aksi kelima peringkat Kumpulan A saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

TFC yang mengumpul sembilan mata, satu mata ketinggalan berbanding Kedah terpaksa menunggu pada perlawanan terakhir menentang PKNS pada 17 September ini sebelum mengetahui nasib mereka.

Kedah yang tewas 0-2 kepada TFC pada aksi pusingan pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar bermula garang apabila meledak gol pembukaan pada minit ketiga menerusi ayam tambatannya, Jonathan Bauman.

Gol itu terhasil berpunca daripada sepakan percuma kapten, Baddrol Bakhtiar dari sebelah kiri pintu gol skuad Penyu sebelum pemain kelahiran Argentina itu melompat tinggi menanduk ke dalam gawang gol yang gagal ditepis keluar penjaga gol, Wan Muhamad Azraie Wan Teh.

Tersentak jaringan itu, skuad kendalian Nafuzi Zain menggandakan asakan untuk memburu jaringan, namun tandukan Nasrullah Haniff Johan pada minit ke-13 hasil sepakan sudut kapten, Lee Tuck dapat dibaca penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Berbekalkan lebih 10,000 peminat setia hitam putih, pemain sayap TFC kelahiran Pendang, Kedah, Mohamad Nabil Ahmad Latpi hampir mencetak namanya sebagai penjaring, tetapi rembatan kencangnya dari luar kotak penalti terkena palang.

Sebelum itu percubaannya berjaya ditampan penjaga gol biarpun hanya berdepan dengan Mohd Ifwat.

Debaran peminat setia skuad Penyu akhirnya terlerai apabila pengadil, Zulkifli Ahmad menghadiahkan penalti kepada TFC selepas Renan Alves mengasari Tuck dan pemain berdarah campuran England-Malaysia itu yang mengambil sepakan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-32.

Bagaimanapun jaringan itu tidak bertahan lama apabila pemain import Helang Merah kelahiran Kyrgyzstan, Edgar Bernhardt berjaya memanfaatkan peluang terhidang dalam kotak penalti pada minit ke-36 apabila bijak merembat masuk hasil hantaran Farhan Roslan untuk mendahului 2-1.

Semangat melawan kental dipamerkan pemain skuad Penyu harus dipuji apabila tidak cepat mengalah apabila sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-60 menerusi pemain gantian, Malik Mat Ariff yang menampan masuk gol selepas menyambar sepakan percuma Tuck.

Ketika permainan berbaki empat minit sebelum ditamatkan, Baddrol menambah gol ketiga pasukannya selepas merembat kencang bola dalam situasi kelam kabut dalam kotak penalti untuk mendahului 3-2.

Malang buat skuad TFC apabila terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain apabila pertahanannya, Hafizal Mohamad diperintahkan keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-88.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 11:19pm
d