arena

Lyon lepas peluang dahului Ligue 1

Oleh AFP

LYON terlepas peluang melonjak ke tangga teratas Ligue 1 awal pagi tadi selepas seri 2-2 di Amiens sekalipun Moussa Dembele meledak dua gol ketika Mathieu Bodmer meraih gol penyamaan lewat buat tuan rumah.

Pasukan kendalian Sylvinho kini hanya meraih dua mata daripada tiga aksi terakhir dan kekal satu mata di belakang pendahulu Paris Saint-Germain sebelum juara bertahan itu turun menentang Strasbourg, malam ini.

Lyon, yang dianggap pencabar terbaik PSG pada awal musim, menerima kunjungan anak buah Thomas Tuchel hujung minggu depan.

“Apabila anda tidak bermain 90 minit, anda akan dihukum,” kata Sylvinho, pasukannya melayan Zenit Saint Petersburg di laman sendiri pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini.

Mereka ketinggalan hanya selepas tujuh minit awal pagi tadi, ketika sepakan percuma bekas pertahanan veteran Lyon, Christophe Jallet menemui sasaran untuk meletakkan Amiens di depan.

Namun Dembele meneruskan permulaan cemerlangnya musim ini dengan merembat masuk voli bagi gol penyamaan dua minit kemudian.

Bekas penyerang Celtic berusia 23 tahun itu kemudian melakukan percubaan akrobatik untuk menyempurnakan hantaran lintang Bertrand Traore pada minit ke-34 sekali gus gol kelimanya dalam lima perlawanan musim ini.

“Pada babak kedua, jelas, kami berhenti bermain... Gol yang kami lepaskan pada hujung perlawanan memang silap kami,” kata kapten Lyon, Leo Dubois.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 10:30am
d