arena

Sterling tak setanding Messi, Ronaldo

Oleh AFP

PEP Guardiola pasti suka jika Raheem Sterling mencapai tahap sama seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, namun pengurus Manchester City itu tidak pasti jika ada pemain yang mampu menyamai pencapaian dua pemain legenda itu.

Sesetengah pihak baru-baru ini membandingkan Sterling dengan dua pemain yang menguasai tajuk berita utama sejak lebih sedekad lalu.

Pengurus England, Gareth Southgate menyarankan Sterling boleh disamakan dengan Messi dan Ronaldo apabila ditanya sejauh mana pemain sayap City itu boleh pergi jika dia mengekalkan persembahan cemerlangnya.

Bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher turut menyatakan beliau melihat Sterling sebagai berpotensi memenangi Ballon d’Or pada masa depan – anugerah yang dimenangi bintang Barcelona, Messi dan penyerang Juventus, Ronaldo masing-masing lima kali.

Pengurus City, Guardiola teruja dengan perkembangan Sterling sejak tiga tahun terakhir kendaliannya, namun selepas turut melatih Messi di Barca, beliau sedar kualiti luar biasa yang diperlukan untuk sampai ke tahap itu.

“Ketika ini, Raheem tidak berada di tahap itu, tapi mungkin pada masa depan. Ia pasti satu impian buatnya dan kami,” kata Guardiola kepada wartawan.

“Tahap konsisten dua pemain ini, mereka legenda, sesuatu yang unik dalam dunia bola sepak.

“Jika Raheem boleh mencecah tahap itu – wau. Kami akan berada di sana untuk membantunya dan sudah tentu dia boleh melakukannya.

“Tapi ketika ini, tiada siapa, di kelab ini atau di semua kelab di dunia boleh dibandingkan dengan dua pemain ini dan apa yang mereka lakukan setiap minggu selama 10 tahun. Tiada siapa.”

Sterling menjaringkan 25 gol untuk membantu City memenangi tiga kejuaraan domestik Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Piala Liga musim lalu.

Dia memulakan musim baharu dengan persembahan memukau dengan lapan gol dalam tujuh perlawanan buat kelab dan negara. Dia menjaringkan gol dalam dua aksi kelayakan Euro 2020 England ketika rehat perlawanan antarabangsa.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 12:20pm
d